Tuesday, 2 October 2012

KEPIMPINAN ISLAM


1. Pendahuluan
Allah S.W.T. mencipta manusia, melengkapkan mereka dengan keupayaan intelek dan menjadikan mereka sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka bumi. Di samping kejadian manusia, Allah juga mencipta makhluk-makhluk dan kejadian lain sebagai sesuatu yang berguna kepada manusia. Dalam mencipta kejadian-kejadian ini, Allah membekalkan dua prasarana kepada manusia untuk memakmurkan muka bumi iaitu kebolehan mengurus (skill) dan sumber-sumber (resources). Tanggungjawab memimpin dan mengurus sekumpulan individu atau sesuatu masyarakat untuk mencapai objektif atau matlamat terletak kepada bahu pemimpin. Kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa bergantung kuat kepada gaya kepimpinan pemimpin mereka dan berkait rapat dengan kesedaran menunaikan tanggungjawab oleh pemimpin dan seterusnya menggerakkan masyarakat menuju keredaan Allah. Islam menyediakan garis panduan yang jelas dalam soal kepimpinan yang boleh dipraktikkan untuk kesejahteraan masyarakat. Bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membawa pendekatan pembangunan negara berasaskan Islam Hadhari, konsep kepimpinan Islam perlu difahami dan diterapkan dalam bentuk yang komprehensif sesuai dengan maksud Islam sebagai cara hidup (nizam al-hayah). Kertas ini akan membincangkan tentang definisi, kepentingan dan potensi kepimpinan, cabaran dalam kepimpinan Islam dan cara mempertingkatkan kualiti dalam kepimpinan Islam dalam konteks pelaksanaan Islam Hadhari.

2. Definisi Kepimpinan
Dalam Islam, aspek kepimpinan diberi perhatian penting sehingga Rasulullah s.a.w. menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam kumpulan yang kecil sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya sebagai ketua”. Terdapat pelbagai definisi diberi tentang “kepimpinan” iaitu antaranya:
i. Usaha untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan individu untuk melakukan sesuatu tugas bagi mencapai objektif tertentu
ii. Tingkah laku individu apabila dia sedang mengarah aktiviti kumpulan ke arah mencapai matlamat yang dikongsi bersama, dan
iii. Seni menyusun hubungan antara individu dengan beberapa kumpulan yang mengarah mereka ke arah sesuatu matlamat yang dirancangkan.Terdapat pelbagai istilah yang dikaitkan dengan kepimpinan dalam Islam seperti ‘khalifah’, ‘imamah’, ‘qiyadah’, ‘za’mah’, ‘ri’ayah’, ‘ri’asah’ dan ‘siyadah’.

b) Memberi Kerjasama
Selain memberi ketaatan, para pengikut juga wajar memberi kerjasama dan memastikan sesuatu perancangan atau program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya. Pemimpin yang memimpin dalam lingkungan syariat wajar mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pengikut. Kerjasama kepada pemimpin boleh dimanifestasikan dalam berbagai bentuk - dari berbentuk pengorbanan mempertahankan kewibawaan pemimpin dengan lisan atau apa sahaja cara yang wajar sehingga kepada pengorbanan harta dan keringat. Kerjasama dari pengikut bagaimanapun hendaklah timbul dari rasa tanggungjawab terhadap pemimpin yang menunaikan amanahnya seperti yang diperintahkan oleh Allah dan bukannya didorong oleh kepura-puraan atau kerana ada kepentingan lain.
c) Mendapat Teguran dan Nasihat
Hak ketiga yang wajar dinikmati oleh pemimpin ialah mendapat nasihat dan teguran yang baik dari para pengikut. Menyedari akan hakikat bahawa pemimpin juga bukanlah perfect, Islam meminta umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka. Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan misalnya oleh Saidina Abu Bakar yang membuka ruang kepada rakyat supaya ditegur seperti disebut dalam ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah Islam pertama menggantikan Rasulullah s.a.w., katanya yang bermaksud: "Jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kebaikan, bantulah aku, dan jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kesalahan, betulkan aku". Saidina Umar berpendapat bahawa khalifah tidak boleh menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakannya dengan rakyat jelata sehingga tidak ada orang yang berani menegur. Ini akan membawa kepada kekacauan dan kemusnahan negara dan menyebabkan hubungan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyat menjadi jauh.
Sikap keterbukaan pemimpin amat penting kerana ia boleh mencipta suasana yang harmoni antara pemimpin dengan para pengikut dan mewujudkan perasaan kasih sayang sesama mereka. Kerana itu Islam juga mengajar supaya pemimpin tidak menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang membezakan dirinya dengan para pengikutnya. Di sisi Allah, ukuran perbezaan di antara manusia adalah ketakwaan mereka, bukannya kedudukan dan kemewahan harta benda. Oleh kerana wujud sikap keterbukaan pemimpin, umat Islam tidak ragu-ragu memberi nasihat, kerana menganggap agama itu adalah nasihat sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami (para sahabat) berkata kepada siapa, ya Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w. Kepada Allah, kepada rasulNya, kepada KitabNya, dan kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan masyarakat mereka.”
Sistem teguran yang dianjur oleh Islam dianggap unggul kerana ia tidak memihak kepada pemimpin sepenuhnya dengan mengorbankan kepentingan ummah dan ia tidak pula memihak kepada kumpulan atau ummah dengan mengorbankan kepentingan pemimpin. Ia menjelaskan di antara tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin di satu pihak dan tugas dan tanggungjawab pengikut di satu pihak yang lain.
Sementara itu, para pengikut juga berhak memperolehi manfaat dari pemimpin iaitu memperolehi perkhidmatan (service) yang terbaik. Pemimpin perlu meletakkan diri mereka sebagai orang yang sentiasa bersedia memberi perkhidmatan dan penyelesaian yang praktikal kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pengikut-pengikut sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.yang bermaksud: “Pemimpin umat itu ialah khadam kepada mereka”. Keputusan-keputusan dalam mengendalikan kepimpinan mesti berorientasikan kemaslahatan pengikut dan pemimpin perlu banyak meransang, mengambil inisiatif mengembleng tenaga, kepakaran dan sumber yang ada untuk mencapai objektif. Kepimpinan yang positif dari pemimpin akan menghasilkan budaya kualiti dan kehidupan cemerlang para pengikut.

7. Kesimpulan
Masyarakat yang cemerlang terbentuk dari kepimpinan yang cemerlang. Lebih ramai pemimpin yang memahami kepimpinan sebagai amanah dilahirkan dalam sesuatu masyarakat, akan lebih makmur dan sejahtera masyarakat. Oleh kerana setiap individu Muslim dianggap pemimpin, mereka mesti membina potensi kepimpinan masing-masing yang berkesan kepada orang yang dipertanggungjawabkan. Kepimpinan mesti dianggap sebagai melaksanakan amanah Allah. Ada yang mengatakan, untuk menjadi pemimpin, perlu diamalkan satu falsafah iaitu “think like a leader” atau sentiasa berfikir seperti ketua. Dengan cara itu, setiap tindakan akan dibuat dengan matang, dengan mengambil kira reaksi dan respons pengikut-pengikut.Kepimpinan berkait rapat dengan menjalankan tanggungjawab dan memberi hak yang wajar kepada yang berhak menerimanya. Negara dalam konteks Islam Hadhari akan mencapai tahap terbilang apabila tahap cemerlang dan gemilang telah diperolehi. Semuanya banyak bergantung kepada kualiti modal insan yang dilahirkan oleh negara yang mampu bersaing di peringkat global.

Slogan Pembimbing Rakan Sebaya SAMTTAJ